Tuesday, 31 December 2013

Hai lah biskut.

Hai lah biskut.
Bila tiada kau aku cari, bila sudah ada kau sahaja yang aku hadap.

Hai lah biskut.
Peneman dikala lapar mahupun dikala lapang, kau aku kunyah hentinya tiada.

Hai lah biskut.
Tanpa segan apatah lagi silu, kau sentiasa diingatan perutku.

Meja Tela'ah.
1 Januari 2014
15:03

Monday, 30 December 2013

Rasa.

Hi.
Rasanya seperti rasa kau dan aku sama.
Rasa yang kita tidak tahu apa.
Rasa yang bisa melayangkan kita khayal ke udara.
Ke awang-awangan merentasi langit semester.
Sehingga sedar kita bertentangan mata di angkasa.

Menjelang tahun baru.
31 Disember 2013
17:12

Friday, 29 November 2013

Silap.

Silap.
Aku masih buat silap.
Silap yang mungkin mendatangkan 'fed up'.
Oleh mereka yang sentiasa menyirap.
Dengan apa yang dipanggil silap.

Maaf, aku masih buat silap.

Shah Alam.
29 November 2013
18:57

Friday, 22 November 2013

An Ap.

Tugasan demi tugasan,
Tekanan demi tekanan,
Cabaran demi cabaran.

Nak hidup kena hadap!
Bila sampai satu tahap,
Menara kita hinggap.

Menuju Menara.
23 November 2013
14:23

Tuesday, 19 November 2013

Lagu.

Bila mana lagu-lagu yang pernah menjadi perantara kita berputar, segala memori terimbas lalu jiwa bergetar.

Tilam Merah.
20 November 2013
02:00

Thursday, 31 October 2013

Suatu Masa Dahulu.

Tidak mudah,
untuk aku melupa
Segala apa,
yang pernah berkisah
Antara kita berdua,
pada setiap masa
kita bersama.

Suatu masa dahulu.
Ya, dahulu.

Kata Rindu.
1 November 2013
01:28

Monday, 28 October 2013

Mungkin.

Mungkin aku terlambat.
Atau, mungkin memang bukan rezeki aku.
Atau, mungkin juga masanya belum tiba.

Ya, permainan mungkin yang berkemungkinan untuk memungkinkan sesuatu sama ada menjadi ya atau sebaliknya.

Ruang Hati.
28 Oktober 2013
17:00

Tuesday, 15 October 2013

Masing-masing.

Masing-masing punya masing-masing,
suka hati masing-masinglah.

Tetapi,
ingatlah had masing-masing.
Ya, masing-masing.

Persona Keluarga.
15 Oktober 2013
17:40

Tuesday, 8 October 2013

Cermin.

Lihat cermin.

Perhati pada mata, hidung, mulut, telinga, tangan dan kaki.

Imbas,
Apa mata memandang,
Apa hidung menghidu,
Apa mulut berkata,
Apa teling mendengar,
Apa tangan dan kaki pernah lakukan.

Selesai?
Sekarang perhati pada seluruh anggota.

Imbas, imbas dan imbas.

Sudah! Cukup! Berhenti!
Ketika mengimbas, apa dilihat?
Yang buruk? Yang baik? Kesemuanya?

Sekarang,
Pejam mata, selami dan berkata.

"Yang buruk aku jadikan pengajaran, yang baik akan aku tingkatan, kerana yang lepas adalah pengalaman."

Sekian.

Depan cermin.
8 Oktober 2013
23:16

Saturday, 5 October 2013

Kita Sama.

Kau pernah sakit, aku pernah sakit.
Kita semua pernah sakit.
Cuma, penyebabnya mungkin lain.
Jadi, dendam untuk apa?
Maju terus, mundur jangan sekalilah!

Atas Tilam.
6 Oktobet 2013
10:10

Saturday, 21 September 2013

Kau pasti?

Kau ada sesuatu?
Sesuatu yang begitu berharga?
Berharga sampaikan kau berjanji menjaganya dengan baik?
Baik sehinggakan kau tidak peduli dengan yang lain?

Kau pasti kau tidak akan kehilangannya?
Kau pasti? Pastikah kau?
Kau betul-betul pasti? Benar-benar pasti?

Jangan. Aku nasihatkan kau jangan.
Jangan pasti. Jangan begitu pasti. Jangan terlalu pasti.
Kerana kepastian kau mungkin akan memakan diri.


Shah Alam.
21 September 2013
18:48

Monday, 2 September 2013

Tolong!

Tolong!
Bila berkata-kata, tolong.
Tolong jangan seperti bernyanyi tanpa suara.


Ruang legar.
2 September 2013
23:37

Thursday, 22 August 2013

Jauh, tetapi indah.

Bintang. Jauh, tetapi indah bukan?
Mampu ku gapai mungkin hanya di dalam mimpi.

Bulan. Jauh, tetapi indah bukan?
Mampu ku jejak mungkin hanya di dalam mimpi.

Seperti juga kamu. Kamu jauh tetapi indah.
Dan mungkin mampu ku permaisurikan hanya di dalam mimpi.

Ya! Mungkin.


Ruang Gelita.
23 Ogos 2013
00:08

Monday, 19 August 2013

Hati.

Berhati-hati, hati!
Jangan sampai jatuh hati, sehingga makan hati, jadi patah hati.
Hati-hati, hati! Ya, hati-hati.


Ruang Malap.
19 Ogos 2013
22:42

Wednesday, 14 August 2013

Cara.

Cara. Tidak semua individu suka dengan cara kita,
kerana kita sendiri tidak juga suka dengan cara semua individu.
Kerana setiap individu punya citarasanya tersendiri,
yang membezakan yang mana suka yang mana tidak.
Tetapi tidak semetinya berlainan citarasa kita tidak boleh bersepadu.
Renungkan.


Ruang Pejabat.
15 Ogos 2013
14:30

Friday, 26 July 2013

Ber.

Berbaring. Bergelap. Berkipas.
Esok bercuti. Tidur berlambat. Fontelinga bersumbat.
Muzik berjalan. Jiwa berlayan.
Selamat.

Ruang gelap.
27 Julai 2013
00:12

Sunday, 21 July 2013

Penunggang & Pemandu.

Penunggang yang memandu lebih peka dengan keadaan sekeliling ketika memandu berbanding pemandu yang hanya memandu.

Mengikut pemerhatian mata kasar aku.

Atas Tenggiling berkakikan tayar.
22 Julai 2013
08:15

Thursday, 18 July 2013

Jangan.

Jangan. Jangan terlalu. Terlalu tinggi. Tinggi ke awangan.
Kerana sampai satu tahap, engkau pasti. Pasti kesesakan.
Kesesakan yang mampu. Mampu membawa engkau jatuh.
Jatuh menyembah bumi, lantas mati.

Bilik Gelap
18 Julai 2013
22:44

Friday, 12 July 2013

Tiada yang mustahil bila itu kehendakNya.

Baring. Aku baring tertiarap, kepala ke arah skrin sambilnya tangan memicit-micit papan kekunci.
Minda berfikir tentang perkara yang aku sendiri tiada tahu apa, sambil kaki bertindak balas bergoyang. Bergoyang tiada henti. Sedang ruang minda aku dibanjiri dengan pelbagai perkara, tiba-tiba timbul satu dari antaranya iaitu "Masa Hadapan."

Langsung terus aku bertanya pada diri, 

"Apa akan aku jadi pada masa hadapan, 50 tahun akan datang adakah aku masih bernyawa? Jika tidak, adakah cukup amalan aku di dunia untuk dibawa ke akhirat sana? 20 tahun akan datang adakah aku telah disajikan dengan apa yang aku impikan? 10 tahun akan datang apa aku sudah punya keluarga susah senang bahagia derita bersama?"

Soalan-soalan seperti atau seakan semua ini terus menerus berlegar merewang di awangan minda aku.

Aku percaya, setiap yang hidup pasti inginkan yang terbaik. 
Begitu juga aku, keinginan aku seperti inginnya aku menggapai bintang indah di langit gelap.
Walaupun aku tahu sukar, tetapi tetap aku yakin bahawa;
 
Tiada yang mustahil bila itu kehendakNya.

Wednesday, 10 July 2013

Suka. Sayang. Cinta.

Suka. Sayang. Cinta.
Manusia sesama manusia pasti merasainya.

Suka bukan pasti sayang, apatah lagi cinta.
Seperti suka pada stranger.

Sayang bukan pasti suka, apatah lagi cinta.
Seperti sayang pada sahabat.

Disatukan suka dan sayang, itu mungkin cinta.
Seperti cinta pada... Isteri.

Ramadhan pertama
10 Julai 2013

Thursday, 4 July 2013

Proses Idea.

Dari mata terus menerusuk masuk ke dalam hati, 
berkembang merewang-rewang di awangan minda,
kemudian mulut bertindak balas lalu memuntahkan kata,
sambil dipersembahkan dengan tangan mahupun jari. 

Ini proses idea aku.

Pejabat.
4 Julai 2013
4:33 PM


Saturday, 29 June 2013

Sekadar Renungan.


Rencana A tidak semestinya yang terbaik kerana terdapat 25 lagi huruf jika sekiranya rencana A tiada jadinya. Renungkan.

Friday, 28 June 2013

Longlai.

Dek kerana waktu tidur aku pada tahap suku segelas air, aku memulakan hari dengan penuh lesu. Mandian pagi hanya menyegarkan aku seketika sahaja. Tetapi aku tetap berkerah bagi menjalankan tanggungjawab aku sebagai si pemakan gaji.

Mujur aku mampu hadap segalanya dengan tenang, sehingga pulangnya aku ke teratak dalam keadaan tenaga di tahap longlai.

Thursday, 27 June 2013